Skip to content

SYARAT PERTANDINGAN

SYARAT-SYARAT DAN PERATURAN

PERTANDINGAN LIGA DEBAT PUTRA PIALA TIMBALAN NAIB CANSELOR HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI ANTARA KOLEJ-KOLEJ KEDIAMAN

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA 2009

Anjuran

BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR

KELAB DEBAT BAHASA MELAYU, UPM (KDBM@PUTRA)

Dengan Kerjasama

JEMAAH PRESIDEN KOLEJ KEDIAMAN UPM

______________________________________________________________________

  1. 1. AM

1.1          Peraturan ini diterimapakai untuk Pertandingan Liga Debat Putra, Piala Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni Universiti Putra Malaysia 2009 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Kelab Debat Bahasa Melayu (KDBM@PUTRA dengan kerjasama Jemaah Presiden Kolej Kediaman UPM.

1.2          Tafsiran peraturan ini adalah hak mutlak Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan dan keputusan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan adalah muktamad.

1.3          Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan mempunyai hak untuk meminda sebarang peraturan sebelum permulaan pertandingan sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Jawatankuasa.

2. TAFSIRAN

2.1          ‘Ketua Hakim’ dan ‘Panel Hakim’ bermaksud individu yang dilantik oleh pihak penganjur untuk memegang jawatan-jawatan tersebut.

2.2          ‘Kolej Kediaman’ bermaksud kolej-kolej kediaman yang berdaftar di bawah Universiti Putra Malaysia. Terdapat 17 Kolej yang diakui penglibatannya dalam pertandingan ini iaitu KMR, K2, KTDI, KC, K5, K6, KTP, KOSAAS, KPZ, K10, K11, K12, K13, K14, K15, K16 dan K17.

2.3          ‘Pasukan Jemputan’ bermaksud pasukan yang dibentuk dan dijemput oleh penganjur berdasarkan keputusan perbincangan bagi memenuhi kuota 3 pasukan jemputan bagi menggenapkan pasukan yang bertanding.

2.4          Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan adalah individu yang dilantik oleh pihak penganjur.

3. STRUKTUR KEJOHANAN

Kejohanan ini dijalankan dalam kategori Bahasa Melayu sahaja.

4. PENYERTAAN

Setiap kolej kediaman DIWAJIBKAN untuk menghantar satu (1) pasukan.

Setiap pasukan yang dibentuk untuk mewakili Kolej Kediaman itu hendaklah terdiri daripada seorang PENGURUS PASUKAN dan tidak lebih daripada sepuluh (10) PENDEBAT. Susunan pendebat ini boleh bertukar ganti antara mereka yang telah didaftarkan namanya kepada penganjur berdasarkan strategi kolej berkenaan.

Terdapat 3 kuota PASUKAN JEMPUTAN yang perlu dipenuhi untuk melancarkan pertandingan maka keputusan untuk menjemput dan membentuk pasukan jemputan itu tertakluk kepada budi bicara pihak penganjur.

5.         KELAYAKAN

5.1          Untuk layak memasuki pertandingan debat ini, peserta mestilah terdiri daripada pelajar Ijazah Pertama, Diploma dan Asasi Pertanianyang berdaftar di Universiti Putra Malaysia.

5.2          Semua anggota pasukan mestilah terdiri daripada pelajar yang menetap di Kolej Kediaman yang diwakili.  Pengesahan bahawa mereka adalah pelajar kolej berkenaan hendaklah dibuat oleh pengurusan kolej kediaman masing-masing.

5.3          Peserta hanya boleh berdebat untuk pasukan yang mendaftarkannya sahaja.

5.4          Peserta yang layak berdebat untuk mewakili kolej kediaman adalah peserta yang sudah didaftarkan namanya kepada pihak penganjur dan disahkan penyertaannya.

6.         SISTEM PERTANDINGAN

6.1          Pertandingan ini akan menggunakan sistem LIGA. Terdapat 4 kumpulan saringan (K1, K2, K3 dan K4) yang terdiri daripada 5 PASUKANdalam setiap kumpulan. Kedudukan dalam kumpulan itu akan ditentukan melalui undian rawak semasa sesi taklimat yang dijalankan oleh penganjur sebelum kejohanan bermula.

6.2          Setiap pasukan dalam kumpulan akan berlawan sebanyak DUA (2)kali berdasarkan konsep “home away match” iaitu sekali menjadi TUAN RUMAH dan sekali BERTANDANG ke tempat lawan dan akan menghabiskan LAPAN (8) pusingan kelayakan liga. Jadual pertandingan akan disusun atur oleh urusetia pertandingan.

6.3          Setiap pasukan berhak menentukan dan menyusun siapakah pendebat yang akan berdebat dalam satu-satu pusingan itu dan pendebat itu hendaklah terdiri daripada mereka yang telah didaftarkan namanya sebagai pendebat dalam pasukan yang diwakili kepada pihak penganjur. Pendebat yang tidak didaftarkan namanya dalam senarai daftar pasukan kolej kediamanTIDAK LAYAK untuk mewakili kolejnya.

6.4          Pasukan yang menjadi Tuan Rumah dalam satu-satu perlawanan itu perlulah bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyediakan segala kelengkapan perdebatan seperti menyediakan tempat pertandingan, meja perdebatan, loceng, jam randik, penjaga masa, bilik kuarantin / bilik persediaan, kertas A4 untuk kegunaan pendebat dan hakim serta air minuman pendebat dan hakim.

6.5          Penentuan peranan (pencadang/pembangkang) akan dilakukan secara manual iaitu LAMBUNGAN SYILING di hadapan hakim pertandingan 30 minit sebelum satu-satu pertandingan berlangsung dan sistem ini akan digunakan sehingga ke pusingan akhir kejohanan.

6.6          Kriteria-kriteria yang akan diambil kira untuk menentukan kedudukan pasukan dalam liga dari pusingan kelayakan pertama (1) hinggalah pusingan kelayakan kelapan (8) adalah seperti yang berikut:

a) Jumlah menang / kalah

b) Jumlah juri (jika sesuai)

c) Jumlah margin

d) Jumlah markah

6.7          DUA (2) PASUKAN TERATAS daripada setiap kumpulan iaituJOHAN dan NAIB JOHAN Kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan kedua iaitu pusingan suku akhir, separuh akhir dan akhir yang akan dijalankan mengikut sistem KALAH MATI.

6.8          Susunan perlawanan pusingan kalah mati akan dibuat seperti mana dalam lampiran.

6.9          Pusingan SUKU AKHIR dan SEPARUH AKHIR juga dijalankan secara “Home Away Match” dan kemenangan pasukan untuk layak ke pusingan seterusnya akan ditentukan berdasarkan perkara berikut :

a) Jumlah juri (jika sesuai)

b) Jumlah margin

c) Jumlah markah

7.         MASA PERSEDIAAN

7.1          Usul perdebatan akan diedarkan lebih awal kepada setiap pasukan berserta jadual perlawanan bagi memudahkan setiap pasukan membuat persediaan rapi tentang tajuk-tajuk perdebatan.

7.2          Peranan (pencadang/pembangkang) akan dilakukan melalui lambungan syiling 30 minit sebelum permulaan perdebatan dan setiap pasukan dibenarkan untuk membuat persediaan dan perbincangan selama 30 minit tersebut sebelum perdebatan berlangsung.

7.3 Perbincangan hanya boleh disertai oleh EMPAT (4) pendebat yang mengambil bahagian dalam perlawanan itu SAHAJA. Penglibatan daripada PENGURUS dan PENDEBAT yang tidak terlibat sebagai pendebat dalam perlawanan tersebut adalah DILARANG SAMA SEKALI.

7.4 Penggunaan telefon bimbit atau alat-alat komunikasi lain semasa tempoh 30 minit persediaan sehinggalah tamat perdebatan adalah DILARANG SAMA SEKALI.

7.5          Mana-mana pasukan yang gagal menghadiri perdebatan selepas lima belas minit (15 minit) dari masa permulaan perdebatan akan dikira kalah.

7.6          Mana-mana pasukan yang melanggar mana-mana peraturan pertandingan ini akan dikira kalah serta merta.

8.         STRUKTUR DEBAT

8.1          Perdebatan dijalankan dalam Bahasa Melayu mengikut gaya Perdebatan  ala-Parlimen Malaysia.

8.2          Setiap pusingan debat mempunyai dua pasukan iaitu pasukan kerajaan (pencadang) dan pembangkang. Setiap pasukan terdiri daripada tiga orang pendebat dan seorang pendebat simpanan.

8.3          Pasukan Kerajaan terdiri daripada Perdana Menteri dan dua orang anggota kerajaan manakala pasukan Pembangkang terdiri daripada Ketua Pembangkang dan dua orang anggota pembangkang.

8.4          Setiap pendebat perlu menyampaikan ucapan substantif.  Ucapan gulungan bagi pihak Kerajaan dan Pembangkang boleh disampaikan sama ada oleh pendebat pertama atau kedua dari pihak masing-masing.

8.5          Had waktu dan susunan ucapan bagi setiap peserta adalah seperti berikut:

Ucapan Substantif:

Perdana Menteri / pencadang pertama                             7 minit

Ketua Pembangkang / pembangkang pertama                  7 minit

Anggota Pertama Kerajaan / pencadang kedua                 7 minit

Anggota Pertama Pembangkang /pembangkang kedua      7 minit

Anggota Kedua Kerajaan / pencadang ketiga                    7 minit

Anggota Kedua Pembangkang / pembangkang ketiga        7 minit

Ucapan Gulungan:

Gulungan Pembangkang                              6 minit

Gulungan Kerajaan                                                         6 minit_

Keseluruhan                                                                     52 minit

8.6          Untuk setiap ucapan substantif, loceng akan dibunyikan sekali selepas seminit masa berlalu bagi menandakan pasukan lawan sudah boleh melakukan celahan/meminta penjelasan, dan sekali lagi pada permulaan minit terakhir bagi menandakan masa untuk membuat celahan sudah tamat.  Loceng akan dibunyikan dua kali apabila masa tamat.

8.7          Untuk ucapan gulungan, loceng akan dibunyikan sekali pada permulaan minit terakhir dan dua kali apabila masa tamat.

8.8          Pendebat yang melebihi had masa lebih daripada 30 saat akan diberi amaran oleh Yang DiPertua Dewan (Speaker). Pendebat akan diminta menamatkan ucapan dan boleh dikenakan penalti.

9.         PERANAN SETIAP PASUKAN

9.1          Peranan pihak Kerajaan adalah untuk menyokong usul.  Mereka perlu mendefinisikan usul, memberi hujahan/kes yang menyokong usul dan membidas sebarang cabaran yang dibuat oleh pihak Pembangkang terhadap usul mereka.

9.2          Peranan Pihak Pembangkang adalah untuk membangkang usul.  Mereka perlu menjawab definisi Kerajaan dengan hanya sama ada MENERIMA atau MENOLAK sahaja. PINDAAN terhadap definisi adalah tidak dibenarkan. Pembangkang juga perlu membina hujahan/kes bangkangan terhadap usul dan membidas hujahan yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan.

10.       PENGHAKIMAN

10.1        Seboleh-bolehnya, setiap perdebatan akan dihakimi oleh seorang panel hakim.  Bilangan ahli panel hakim mestilah ganjil.

10.2        Pada pusingan awal, seorang hakim akan bertindak sebagai Yang DiPertua Dewan dan akan digelar sebagai Tuan Yang DiPertua. Dalam pusingan suku akhir, separuh akhir dan akhir, Yang DiPertua tidak semestinya dilantik dari kalangan hakim.

10.3        Yang DiPertua Dewan bertanggungjawab menjemput pendebat berucap, menjaga ketertiban majlis dan tertakluk kepada peraturan ini, membuat keputusan tentang sebarang aspek tatacara dan prosedur perdebatan yang mungkin dipertikaikan.

10.4        Para Hakim mestilah:

a.         Mencapai keputusan menang/kalah, keputusan seri tidak dibenarkan.

b.         Tidak menyampuk atau membuat sebaran komen semasa perdebatan berjalan.

10.5        Ketua Hakim mesti mengisytiharkan keputusan kepada pasukan yang bertanding dan memberi alasan terhadap keputusan yang dicapai oleh panel dalam komentar yang tidak melebihi 10 minit.

10.6        Ahli-ahli panel tidak boleh berbincang dan mesti mencapai keputusan dengan sendiri.

10.7        Jika tiada keputusan secara sebulat suara dapat dicapai, maka keputusan majoriti akan diterima pakai.  Pindaan terhadap sebarang keputusan tidak akan dibenarkan selepas penyerahan undi.

10.8        Hakim hendaklah berlaku adil dalam menilai fakta.  Hujahan yang disampaikan harus diterima seadanya selagi ia tidak dibuktikan sebaliknya oleh pihak lawan.

10.9        Keputusan hakim adalah muktamad.

10.10      Kedudukan Pasukan dan keputusan setiap perlawanan akan dipaparkan dalam blog rasmi Kelab Debat Bahasa Melayu UPM di alamatwww.kdbmputra.blogspot.com dan akan  dipaparkan di papan-papan kenyataan sekitar kolej kediaman UPM.

11.       PEMARKAHAN

11.1        Setiap ucapan substantif akan diberikan markah maksimum 100 berdasarkan kepada:

Isi                                                         40 markah

Gaya/Penyampaian                                40 markah

Tatacara                                               20 markah

11.2        Isi akan diadili dari segi kesesuaian, pengembangan dan penjelasan hujah, fakta dan contoh yang digunakan serta bidasan yang berkesan terhadap hujahan pihak lawan.

11.3        Tatacara akan diadili dari segi:

  1. Keberkesanan penyusunan dan struktur ucapan pendebat.
  2. Keberkesanan penyusunan dan struktur kes sesuatu pasukan secara keseluruhan.
  3. Kesinambungan hujah/fakta.
  4. Kerja sepasukan.

11.4        Gaya penyampaian akan diadili dari segi kesesuaian dan keberkesanan gaya penyampaian hujahan.  Penyampaian yang mempunyai nilai bujukan yang tinggi serta dapat menarik perhatian penonton akan dipandang positif oleh hakim (dengan syarat ia membantu hujahan).

11.5        Ucapan gulungan akan diberikan markah maksimum 50 berdasarkan nisbah pemarkahan ucapan substantif seperti yang disebut diatas.

11.6        Kriteria utama pemarkahan adalah nilai hujahan (isi) yang diberikan iaitu sejauh mana hujahan itu relevan kepada tajuk perdebatan serta nilai bujukannya yang meyakinkan dan memberi sokongan terhadap usul yang diperdebatkan

11.7        Penggunaan bahan bantuan luar (buku, carta, majalah dan lain-lain) semasa perdebatan berlangsung adalah dilarang sama sekali.

11.8        Semua peserta hendaklah berkelakuan dengan tertib dan penuh sopan semasa pertandingan.

12.       FAKTA BARU

Tiada sebarang ‘fakta baru’ dibenarkan bagi disampaikan dalam ucapan substantif pendebat ketiga dan ucapan gulungan mana-mana pasukan.   Contoh baru adalah bukan fakta baru.  Hujahan atau fakta adalah dikira ‘baru’kecuali:

  1. ia telah digunakan dalam mana-mana hujahan terdahulu
  2. ia merupakan bidasan terhadap hujahan pasukan lawan

13.       DEFINISI

13.1        Tugas memberi definisi usul perbahasan yang wajar dan boleh didebatkan adalah hak dan tanggungjawab pihak Kerajaan.

13.2        Pihak Pembangkang boleh:

a.         menerima definisi Kerajaan secara keseluruhan/mutlak, atau

b.         menolak secara keseluruhannya/mutlak dan mengemukakan definisi alternatif.

Pihak Pembangkang boleh menolak definisi pihak Kerajaan secara keseluruhannya hanya jika;

a.         definisi pihak Kerajaan tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan maksud sebenar usul.

b.         definisi pihak Kerajaan adalah ‘truistik': iaitu tidak boleh dibangkang dengan hujahan rasional’

c.          definisi pihak Kerajaan berdasarkan kepada pendefinisian yang terlalu spesifik ataupun hanya melibatkan masa dan tempat yang tidak masuk akal.

14. PENJELASAN

14.1.1    Penjelasan (celahan) dalam konteks ini bermaksud penjelasan yang diminta oleh pihak lawan bagi membetulkan pendebat yang sedang berucap atau menimbulkan fakta penting. Ia hendaklah ringkas dan bersangkutan dengan apa yang sedang dibincangkan oleh pendebat tersebut.  Markah akan diberi untuk penjelasan dan jawapan terhadap penjelasan yang efektif.

14.1.2    Pendebat yang sedang berucap mempunyai hak mutlak sama ada untuk menerima atau menolak penjelasan yang cuba diberikan.  Bagaimanapun, penolakan penjelasan yang berterusan atau penerimaan yang keterlaluan sehingga menjejaskan kualiti ucapan pendebat tersebut harus dipandang serius oleh hakim. Adalah disyorkan setiap pendebat menerima sekurang-kurangnya dua penjelasan. Walau bagaimanapun, pertandingan ini tidak mengenakan had maksimum atau minimum bagi menerima penjelasan.

14.1.3    Penjelasan tidak boleh melebihi 15 saat. Loceng akan dibunyikan selepas 15 saat. Jika penjelasan belum selesai, pendebat yang meminta penjelasan hendaklah duduk serta merta.

14.1.4    Penjelasan tidak boleh diminta sebelum berakhir minit pertama dan pada minit terakhir mana-mana ucapan substantif.  Loceng akan dibunyikan sekali lagi menandakan permulaan dan sekali lagi pada pengakhiran waktu meminta penjelasan dibenarkan.  Penjelasan tidak boleh diminta dalam ucapan gulungan.

14.1.5    Hanya ahli dari pihak lawan boleh meminta penjelasan.  Pendebat hendaklah memberi isyarat jika ingin mencelah (berdiri, mengangkat tangan dan sebagainya).

14.1.6    Pendebat yang sedang berucap boleh menerima atau menolak penjelasan dengan memberi isyarat fizikal atau memberitahu secara lisan.  Jika ditolak, pendebat yang ingin meminta penjelasan hendaklah duduk dan menunggu peluang yang lain.

14.1.7    Apabila penjelasan diterima, pendebat yang sedang berucap tidak boleh menjawab selagi pendebat yang meminta penjelasan belum selesai mencelah atau peruntukan masa 15 saat yang diberi belum tamat (yang mana dahulu).  Pendebat tidak wajar memotong penjelasan yang diminta oleh pasukan lawan apabila penjelasan telah diterima.

15. BANTAHAN SEMASA PERDEBATAN SEDANG BERLANGSUNG

15.1      Bantahan dalam konteks ini bermaksud bantahan yang diajukan oleh pendebat kepada Yang DiPertua Dewan semasa perdebatan berlangsung bagi menarik perhatian beliau terhadap pelanggaran sebarang peraturan perdebatan seperti:

a.         penggunaan aksi atau bahasa yang kurang sopan dalam perdebatan, atau

b.         pengenalan fakta baru semasa dalam ucapan substantif pendebat ketiga dan/atau ucapan gulungan, atau

c.          mana-mana pendebat yang melebihi had masa daripada 30 saat.

15.2.1    Adalah tanggungjawab setiap pasukan untuk menyuarakan bantahan terhadap sebarang pelanggaran peraturan. Keputusan Yang DiPertua Dewan sama ada untuk menerima atau menolak bantahan yang dikemukakan adalah muktamad.

15.2.2    Jika bantahan diterima, Yang DiPertua Dewan boleh mengarahkan pendebat yang terbabit agar mematuhi peraturan yang dibangkitkan dan masa yang digunakan untuk membuat bantahan akan dikira daripada masa pendebat yang sedang berucap.

16.       RAYUAN

16.1        Sekiranya ada mana-mana pasukan ingin melakukan bantahan, seelok-eloknya bantahan dibuat sebelum perlawanan perdebatan berlangsung khususnya apabila pasukan lawan melanggar mana-mana syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh penganjur.

16.2        Semua bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan secepat mungkin dalam bentuk bertulis yang tidak menimbulkan keraguan.

16.3        Jika Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan mendapati berlaku sebarang kesilapan atau kecacatan dalam pengendalian sesuatu perdebatan, usaha akan dibuat agar tidak ada mana-mana pihak yang terjejas.  Sekiranya perlu, hakim dan peserta akan diberitahu tentang isu berbangkit agar ia tidak berulang.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: